Makanan yang perlu dielakkan jika ada masalah buah pinggang

Posted by webmaster 05/10/2019 2 Comment(s) Coretan Suzyhoney,

Dalam badan manusia terdapat satu organ yang berbentuk seperti kacang, iaitu buah pinggang. Setiap orang dikurniakan sepasang buah pinggang dan terletak betul-betul di bawah tulang rusuk bersebelahan dengan tulang belakang.

 

Fungsi organ ini adalah mengekstrakkan bahan buangan dari darah, mengimbangi cecair dalam badan, menghasilkan air kencing dan membantu fungsi badan lain. Oleh itu, kita hendaklah memastikan buah pinggang sentiasa sihat dan berfungsi dengan baik.  

 

1. Minuman cola

Kegagalan buah pinggang berlaku disebabkan kemanisan gula tiruan seperti bahan kimia aspartame yang terdapat dalam minuman cola. Pengamalan diet berasaskan minuman ini terbukti memberikan kesan negatif pada buah pinggang anda.

 

2. Avocado

Buah avocado perlu dielakkan oleh pesakit buah pinggang. Pesakit buah pinggang perlu membatasi pengambilan elekrolit tertentu seperti kalium dan fosforus. Avocado mengandungi kalium yang tinggi. Buah pinggang yang teruk terjejas tidak dapat menghilangkan kalium yang berlebihan daripada badan dan pengumpulan kalium dalam darah boleh menyebabkan masalah yang serius, malah mengancam kehidupan pesakit. 

 

3. Makanan dalam tin

Pengambilan makanan dalam tin perlu dikawal kerana mengandungi kandungan garam yang tinggi. Garam adalah penting untuk badan, tetapi penggunaanya perlu dihadkan, iaitu tidak lebih dari 5.8 gram. Penggunaan garam yang berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan terlalu banyak tekanan pada buah pinggang. 

 

4. Roti gandum

Kandungan karbohidrat yang tinggi dalam roti gandum tidak dapat membantu anda mencapai berat badan yang diinginkan. Kecekapan sistem pencernaan semakin berkurangan dan ini menyebabkan lemak-lemak terkumpul, seterusnya mengakibatkan kegagalan buah pinggang. 

 

5. Beras perang 

Beras perang mengandungi fosfurus dan kalium yang tinggi. Pengambilan beras perang perlu dikawal kerana boleh memberi kesan negatif pada buah pinggang. Beras putih adalah alternatif terbaik untuk menggantikan  beras perang dalam diet anda. 

 

6. Pisang 

Pesakit buah pinggang, terutamanya yang sedang menjalani rawatan dialisis tidak digalakkan mengambil pisang kerana pisang mengandungi kalium yang tinggi. Pesakit buah pingang tidak lagi berkeupayaan untuk mengeluarkan bahan kumuh dari badan seperti orang  sihat. Kadar kalium yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan gangguan pada ritma jantung dan boleh membahayakan nyawa pesakit.

 

7. Hasil tenusu 

Hasil tenusu mengandungi jumlah fosforus, kalium dan protein yang tinggi dan harus dihadkan dalam pemakanan. Hal ini kerana pesakit buah pinggang kronik tidak dapat mengeluarkan fosforus tambahan yang diambil dalam makanan dan menyebabkan paras darah meningkat. Tahap fosforus yang tinggi dalam darah akan mengeluarkan kalsium dari tulang yang menjadikan tulang lemah.

 

8. Oren 

Walaupun buah oren membekalkan kandungan vitamin C yang bermanfaat untuk badan, tetapi ia juga kaya dengan kalium. Pengambilan kalium yang berlebihan boleh menyebabkan masalah buah pinggang. Buah anggur, epal dan cranberry adalah pengganti terbaik buah oren kerana mengandungi kalium yang lebih rendah.

 

9. Daging proses

Daging yang diproses boleh dianggap tidak sihat dan menyebabkan penyakit kronik kerana mempunyai jumlah bahan pengawet yang tinggi. Daging ini biasanya mengandungi garam yang banyak untuk meningkatkan dan mengekalkan rasa. Bukan itu sahaja, daging proses juga mempunyai protein tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang.

 

10. Jeruk 

Makanan yang diperap dengan garam seperti jeruk buah-buahan perlu dielakkan kerana ia menggunakan jumlah garam yang banyak dalam proses pembuatannya. 

 

11. Aprikot 

Aprikot kaya dengan vitamin A, vitamin C dan serat, tetapi ia juga mengandungi kalium yang tinggi, terutamanya dalam aprikot kering. 

 

12. Kentang 

Kentang merupakan sayuran yang kaya dengan kalium. Namun begitu, kandungan kalium boleh dikurangkan kira-kira 50%  dengan merebusnya selama 10 minit. 

 

13. Tomato 

Tomato mempunyai kalium yang tinggi dan tidak sesuai diamalkan oleh pesakit buah pinggang. Tomato boleh dihidangkan secara mentah atau direbus dan biasanya digunakan untuk membuat sos. Satu cawan sos tomato mengandungi 900mg kalium. 

 

14. Makanan segera

Makanan segera merupakan makanan yang diproses dan mengandungi sejumlah besar natrium. Ia juga makanan yang tidak berkhasiat dan boleh membahayakan kesihatan buah pinggang.

 

15. Bayam 

Sayuran hijau berdaun seperti bayam mengandungi sejumlah besar nutrien dan mineral, termasuk kalium terutamanya apabila dimasak dan dihidangkan. 

 

16. Kurma, kismis dan prun

Kurma, kismis dan prun mempunyai kandungan kalium yang agak tinggi.  Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pengambilan kalium yang berlebihan menyebabkan aras kalium tinggi dalam darah dan anda akan mengalami denyutan jantung yang tidak sekata, lemah dan sesak nafas. 

 

17. Makanan ringan

Makanan ringan lebih cenderung kekurangan nutrien dan mempunyai garam yang agak tinggi sehingga boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang.

2 Comment(s)

Wan Hilmy Wan Musa:
25/10/2021, 09:07:59 AM
Reply

Alhamdulillah dan terima kasih atas info

Razak Abd Raman:
05/10/2022, 07:59:39 PM
Reply

CKD stage 2 boleh makan utk 17 makanan yg dilarang seperti yg dinyatakan

Leave a Comment