Pantang Larang Ibu Mengandung

Posted by webmaster 10/09/2019 0 Comment(s) Petua Amalan Tradisional,

Orang Melayu sememangnya sinonim dengan pantang larang.

Berikut merupakan 11 pantang larang semasa mengandung sebagai panduan anda:

 
1. Gaya pemakanan
Sepanjang tempoh kehamilan, anda hendaklah mengelakkan diri dari mengambil makanan yang terdiri daripada:

• Makanan mentah 
Makanan mentah yang berasal dari haiwan atau sayur-sayuran mempunyai risiko tinggi sehingga boleh menjejaskan kesihatan. Makanan mentah seperti daging setengah masak dan adunan kuih yang masih mentah mengandungi bakteria, virus dan parasit yang lebih banyak sehingga mengganggu perkembangan bayi.

• Ikan yang mengandungi merkuri
Pengambilan ikan dalam menu harian sangat bagus kerana mengandungi sumber protein yang berkhasiat. Namun begitu, anda haruslah memilih dengan teliti kerana terdapat spesies ikan yang mengandungi merkuri dan ia tidak baik untuk kesihatan ibu mengandung serta bayinya. Kebanyakan ikan laut yang tercemar dengan merkuri berasal dari lautan dalam. Kandungan merkuri yang tinggi boleh mengganggu perkembangan otak dan sistem saraf bayi.

• Telur mentah
Kandungan protein yang terdapat dalam telur sangat bermanfaat untuk ibu hamil. Namun begitu, jika ia diambil dalam keadaan mentah atau setengah masak, telur tersebut dapat memberi kesan negatif kepada ibu hamil, khususnya kepada bayi. 

• Keju
Keju merupakan salah satu sumber kalsium  yang baik untuk badan, tetapi tidak semua boleh dimakan ketika hamil. Hal ini kerana terdapat keju yang berbahaya kepada kandungan kerana mempunyai bakteria. Pengambilan kalsium yang banyak juga menyebabkan bacaan HB anda rendah. Oleh itu, pengambilan keju hendaklah dalam kuantiti yang terkawal. 

• Susu yang tidak dipasteur
Susu mentah yang belum dipasteur tidak digalakkan untuk ibu mengandung. Pempasteuran bertujuan untuk menghapuskan bakteria degil dengan menggunakan suhu tinggi. Susu yang tidak dipasteur berisiko mengandungi bakteria listeria yang akan meningkatkan risiko keguguran dan penyakit serius. 
 

2. Melakukan aktiviti mengecat
Mengecat boleh mendedahkan anda kepada banyak bahan kimia. Bahan kimia ini boleh meningkatkan risiko bayi mengalami kecacatan ketika lahir. Pilihan yang paling mudah dan selamat adalah membiarkan orang lain melakukan kerja-kerja mengecat atau tunggulah sehingga bayi anda dilahirkan.
 

3. Pengambilan minuman berkafein
Kandungan kafein yang terdapat dalam minuman seperti kopi boleh menyebabkan risiko keguguran dan bayi yang lahir memiliki berat badan yang rendah. Hal ini kerana kandungan kafein mengganggu penyerapan vitamin semasa mengandung. 
 

4. Mengambil ubat-ubatan tanpa panduan doktor.  
Ibu hamil tidak disarankan mengambil ubat-ubatan tanpa panduan dari doktor. Hal ini kerana ubat yang dimakan akan masuk ke dalam plasenta dan sampai kepada janin dalam kandungan. Anda dinasihatkan supaya merujuk doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat atau vitamin.
 

5. Memakai kasut bertumit tinggi
Kasut tumit tinggi merupakan kasut yang digemari oleh wanita untuk membuatkan mereka kelihatan lebih tinggi. Semasa mengandung, penggunaan kasut tumit tinggi sangat tidak digalakkan. Penggunaan kasut tumit tinggi ketika mengandung menyebabkan otot-otot yang terdapat di kawasan pinggang menjadi tegang. Bukan itu sahaja, kasut tumit tinggi juga meningkatkan risiko ibu hamil terjatuh sehingga boleh menyebabkan keguguran.
 

6. Mandi dalam air panas atau sauna
Ibu mengandung sebaiknya mengelakkan diri dari berada di dalam bilik atau persekitaran bersuhu panas. Berdasarkan kajian, risiko keguguran yang dialami oleh ibu mengandung akan meningkat menjadi dua kali ganda jika berendam dalam air panas atau melakukan sauna semasa tiga bulan pertama usia kehamilan.
 

7. Membersihkan najis kucing
Menukar dan mencuci bekas najis kucing atau haiwan peliharaan boleh menjejaskan anda kepada pelbagai parasit dan kuman. Risiko paling besar kepada janin adalah toksoplasmosis, iaitu sejenis jangkitan yang boleh didapati dalam najis kucing. Jika anda perlu mencuci dan menguruskan haiwan peliharaan, jangan lupa untuk memakai sarung tangan dan membersihkan tangan setelah selesai. 
 

8. Merokok 
Merokok boleh menyebabkan keguguran dan sindrom bayi meninggal mendadak. Bayi turut terdedah pada berat kelahiran yang rendah, kelahiran pramatang dan masalah pernafasan. Merokok juga tidak baik untuk kesihatan seseorang dan sangat berbahaya untuk tumbesaran bayi. Jika anda bukan seorang perokok, anda juga tidak boleh mendedahkan diri dan kandungan kepada perokok. 
 

9. Minuman beralkohol
Minuman alkohol akan menghalang penerimaan khasiat makanan dan oksigen yang diperlukan oleh janin. Alkohol juga boleh memberikan masalah kesihatan yang serius seperti gangguan spektrum yang boleh menyebabkan kerosakan jantung dan gangguan tingkah laku. 
 

10. Duduk atau berdiri terlalu lama
Semasa mengandung, duduk atau berdiri dalam jangka masa yang lama boleh membawa kepada masalah. Anda mesti pernah melihat ibu mengandung mempunyai kaki yang bengkak. Keadaan ini dikenali sebagai edema. Walaupun kaki kita boleh menampung beban yang banyak, tetapi ketika hamil kita menampung bebanan yang berganda. Duduk terlalu lama juga membuatkan hormon kehamilan meningkat sehingga rentan dan ibu mengandung boleh mengalami tekanan. 
 

11.  Memakai baju yang ketat
Memakai baju yang ketat boleh meningkatkan risiko, terutamanya di bahagian perut yang akan mengganggu perkembangan janin. Baju yang sesuai dipakai semasa mengandung adalah baju yang selesa, menyerap peluh dan mempunyai pengudaraan yang baik. 
 

SuzyHoney

Leave a Comment