Cara Bijak Menghadapi Pasangan yang Curang

Posted by webmaster 17/09/2019 0 Comment(s) Coretan Suzyhoney,

Perkahwinan kadangkala diuji dengan pelbagai masalah, antaranya isu kecurangan. Tanpa  sebab yang kukuh, pasangan berlaku curang dan menyimpan wanita atau lelaki lain. Pastinya terluka apabila diri dikhianati oleh insan yang paling disayangi. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan sebaik sahaja anda mengetahui kecurangan pasangan.

 

 

i. Terima dan kawal emosi 

Setiap orang pasti susah menerima kenyataan bahawa pasangan mereka telah mengkhianati cinta yang dibina bersama. Tidak dinafikan ada wanita yang mengambil masa yang lama untuk memaafkan pasangan. Kesakitan yang berbekas dalam hati amat sukar dilupakan. Namun begitu, anda harus bijak mengawal emosi dan fikirkan baik atau buruk sesuatu perkara yang anda bakal lakukan.

 

 

ii. Jangan menyimpan dendam 

Jangan menyimpan dendam terhadap pasangan kerana kadangkala kecurangan memberi petanda sama ada hubungan patut berakhir atau perlu diperbaiki. Dalam hal ini, berbaliklah kepada pegangan agama, jauhi perkara kufur semata-mata mahu pasangan terus berada di sisi anda. Hal ini hanya akan menimbulkan kebencian pasangan jika diketahuinya. 

 

 

iii. Berpisah sekejap 

Mungkin dengan cara ini anda dapat mententeramkan jiwa dan membuat keputusan secara rasional. Jika anda mempunyai anak, fikirkan masa depan mereka. Jangan biarkan mereka membesar tanpa kasih sayang ibu bapa. Sekiranya pasangan telah menyesali apa yang dilakukan, cuba untuk maafkan demi kepentingan anak-anak. Nilai diri masing-masing dan bina hidup yang lebih bahagia.

 

 

iv. Berhenti menyalahkan diri sendiri 

Apabila suami berlaku curang, isteri akan menyalahkam diri sendiri dengan merasakan dirinya tidak pandai menjaga suami dan sebagainya. Sebaiknya berhenti menyalahkan diri sendiri kerana hal ini boleh mematahkan semangat anda untuk terus hidup.

 

 

v. Tidak melibatkan anak-anak 

Anda tidak sepatutnya melibatkan anak-anak dalam masalah ini, kecuali anda dan pasangan telah memutuskan untuk bercerai. Selesaikan masalah yang dihadapi dengan berhemah supaya anak-anak tidak berasa terabai sehingga tidak mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya dari ibu bapa mereka.  

 

 

vi. Dapatkan sokongan dan nasihat dari orang yang berpengalaman 

Jika keadaan menjadi semakin rumit dan sukar untuk diselesaikan secara bersama, anda perlu segera mendapatkan nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang berpengalaman seperti ibu bapa dan pakar dalam masalah rumah tangga. Terima nasihat atau pandangan dengan hati terbuka. Jangan sesekali mengambil keputusan berdasarkan desakan atau hasutan orang lain kerana anda berdua yang menanggung kesannya.

 

 

vii. Tanya pada diri sebelum membuat keputusan 

Tanya pada diri sebelum membuat sebarang keputusan. Antara persoalan yang perlu ditanya adalah adakah anda bersedia memaafkan pasangan dan kembali mulakan hidup baharu atau sememangnya anda tidak boleh menerima lagi kehadirannya. Berjanji pada diri sendiri bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat adalah yang terbaik dan difikirkan sedalam-dalamnya tanpa ada paksaan dari orang lain.

 

 

viii. Berpisah cara baik 

Jika anda berasa tidak boleh memaafkan dan meneruskan hubungan, berpisahlah secara baik. Jika dia datang pada kita dengan cara baik, maka biarlah perpisahan itu dengan cara yang baik untuk menjaga hati kedua-dua belah pihak.

Leave a Comment